Tari Kontemporari Di Malaysia Dari Satu Sudut Pandang

Di Malaysia, introduksi kepada tari kontemporari ini bermula seawal tahun 1970an. Bidang koreografi pentas (dance concert) terutamanya bentuk kontemporari bermula apabila artis individual mula menyuarakan pendapat dalam ‘tatabahasa’ alternatif ini. Nama seperti Mohd Ghouse Nasuruddin dam Lee Lee Lan adalah nama yang tidak asing dalam perkembangan awal tari kontemporari di Malaysia. Pada masa itu, bentuk kontemporari Memperlihatkan gabungan budaya tari yang berbeza; bentuk tari tradisional tempatan dan bentuk tari Barat.
Sedekad kemudian, sekitar tahun 1980an, lebih ramai artis yang menggunakan pendekatan baru dalam pengkaryaan mereka. Nama-nama seperti Ramli Ibrahim dan Marion D’Cruz mula dikenali dengan pendekatan dan presentasi mereka yang berbeza. Ramli Ibrahim yang merupakan seorang penari yang mempunyai pemahaman dan pendidikan tari ballet, Bharatanatyam dan Odisi telah banyak berkarya dengan melibatkan litasan budaya (cross-culture).
Selain dari itu, beliau juga mula berkolaborasi bersama artis catan dan arca yang sering terlibat sebagai pereka set dan pentas dalam karya beliau. Pendekatan Marion D Cruz pula lebih kepada mencari bentuk dan tatabahasa baru. Marion berkolaborasi dengan penari dan bukan penari bagi mendapatkan bentuk dan tatabahasa baru dalam komposisi tarinya. Karya-karya seperti Swan Song (1988); merupakan karya yang diinspirasi dari puisi W.S Rendra dan Urn Piece (1988) bukti kerja kolaborasi Marion D Cruz dan artis yang mempunyai latarbelakang kesenian yang berbeza.Pada era 1990an, kesenian ini lebih pesat berkembang. Kehadiran koreografer seperti Choo Tee Kuang, Loke Soke Kim, Suhaimi Magi, Umesh Shetty, Joseph Gonzales, Vincent
Tan, Steve Goh dan ramai lagi telah mula mewarnai dunia tari kontemporari. Pendekatan yang digunakan pada zaman ini lebih pelbagai dimana wujud lebih banyak kemungkinan dan rentasan budaya serta disiplin dalam penghasilan karya tari ini. Selain dari itu, mula wujud pemikiran yang lebih luas, sejajar pada era ini, pelbagai subjek digunakan sebagai tema termasuk politik, isu semasa, permasalahan sosial dan lain-lain.Di alaf baru, perkembangan tari kontemporari mula menjadi lebih pesat dan lebih banyak peluang untuk mendalami kesenian ini. Penubuhan ASK yang kini ASWARA telah banyak menyumbang kepada perkembangan pesat ini. Institut pengajian tinggi yang mengkhususkan kepada seni persembahan ini telah melahirkan ramai koreografer alaf baru seperti Shafirul Azmi Suhaimi, Hamid Chan, Junainah M. Lojong, Arifwaran dan Syed Mustapha Syed Yasin. Pandangan terdahulu banyak mempengaruhi pemikiran mereka dan dari pengalaman dan tunjuk ajar yang diberikan oleh pensyarah seperti Marion D Cruz, Joseph Gonzales, Umesh Shetty, Suhaimi Magi, Gan Chih Pei, Choo Tee Kuang dan ramai lagi telah membantu koreografer pada era ini terus bergiat dan mencari identiti mereka.
Selain daripada ruang lingkup ASK/ASWARA, terdapat juga perkembangan dikalangan artis tari bebas dalam dunia tari mainstream yang mula menunjukkan minat dalam bidang ini. Penari dan koreografer yang dilantik oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri juga mula menunjukkan minat terhadap kesenian ini. Penerimaan secara meluas dikalangan masyarakat Malaysia khususnya di pusat bandar mungkin dilihat terkesan daripada pengenalan genre ini secara meluas melalui program realiti TV seperti So You Think You Can Dance (8TV), Sehati Berdansa (astro RIA) dan Mari Menari (astro RIA).
Wujud lebih banyak eksplorasiyang memperlihat kolaborasi dua medium dan tatabahasa tari yang berbeza. Antara nama-nama yang telah menyumbang kepada perkembangan fasa ini adalah Pat Ibrahim, Azwa, Peter Ong dan ramai lagi. Terdapat juga generasi baru yang mula menunjukkan minat dan memilih genre ini sebagai medium ekspresi mereka. Antara nama-nama individu generasi muda yang mula memperlihatkan minat adalah Fairuz Fee Tauhid, Ezdianie Hayatie Omar, Akmal Ayob, Khairul Azhar Mokhtar, Lex Lakshman Balakrishnan, Muhaini "Muni" dan ramai lagi.
Sejak dari itu, tari kontemporari terus berkembang hingga ke hari ini dengan pelbagai bentuk perubahan dan pendekatan. Kini tari bukan lagi sebagai satu cabang luahan ekspresi sahaja. Tari kini lebih banyak berfungsi sebagai alat komunikasi seterusnya ia membantu mengembangkan gaya bentuk pemikiran yang lebih kreatif dan inovatif. Selain dari itu, tari kontemporari Malaysia juga banyak melalui asimilasi atas pengaruh yang diterima disekitarnya.
P/s: Berharap infomasi ini dapat membantu pelajar jurusan seni persembahan.
Rujukan
Gonzales, Joseph. (2004). Choreography A Malaysian Perspective. Kuala Lumpur: Akademi Seni Kebangsaan.
Humphrey, Doris. (1959). THE ART OF MAKING DANCE. New York: Grove Press, Inc.
Mohd Anis Md Nor. (2003). Diversity in Motion. Kuala Lumpur: The Cultural Center, Universiti of Malaya.
Comments