FAKULTI TARI ASWARA MACAM BINATANG???? (ke...??)

Assalamualaikum,

Sebenarnya untuk menulis mengenai persembahan dari tempat jatuh yang jarang dikenang memang susah. Setiap bait kata yang aku akan ungkapkan akan dianggap samada BIAS atau PREJUDIS. Apa pun yang nak dikatakan oleh anda semua, semuanya tidak akan mendatangkan kesan ke atas aku secara fizikal (kata-kata tidak akan dapat memotong kulit aku yang berepidermis tebal dan berlemak ini). Tapi sekiranya ada info yang aku share di sini yang kurang tepat, jangan malu, tinggalkan komen anda. Seperti biasa, aku rasa proses pembelajaran tidak akan berakhir selepas kita menang EMAS masa sukan Sea ke, dapat anugerah seniman negara ke, berjaya mengumpul pendapatan bersih bulanan 5 angka ke dll. Aku masih rasa aku belajar banyak benda sesudah aku secara rasmi tamat pengajian dan sentiasa mengharapkan maklum balas lapangan yang tiada sempadan ini untuk menambah ilmu di dada.

Melihat kepada poster persembahan ini, keterujaan aku mula memuncak dan segera aku menghubungi pihak berkenaan untuk mendapatkan tiket. Warna jingga, kuning dan merah yang merupakan palette yang menghiasi latar putih ini sangat menarik perhatian. Memandangkan aku gagal menonton kreasi baru anjuran ASWARA sebelum ini, aku ingin pastikan supaya perkara yang sama tidak akan berlaku lagi untuk produksi ini. Berkali-kali aku memastikan status tiket yang aku tempah supaya aku tidak terlepas pementasan tahunan ini. Sejak 2005, ini antara produksi yang tidak pernah gagal mendapat perhatian masyarakat awam. Mungkin genre dan bahasa persembahannya berbau tradisi, sehinggakan karya tulisan aku Ulik yang dipentaskan pada cuti Hari Raya Haji Tahun 2009 juga mendapat sambutan yang baik.

BUKAN aspek koreografi atau penataan pentas yang menjadi fokus aku dalam menonton persembahan Tapestry pada kali ini. Keterujaan aku kali ini, ingin melihat sejauh mana kebolehan penari yang terlibat dalam persembahan ini. Selalunya, dalam produksi Tapestry kita dapat melihat pelajar dari tahun yang berbeza bekerjasama menjayakan persembahan di atas satu pentas. Selain dari itu, perasaan ingin tahu apa yang bakal disajikan dalam persembahan ini merupakan pulsa kerterujaan dalam persembahan yang dapat dihubungkaitkan dengan salah satu teknik cetusan idea yang boleh dikatakan tertua dalam sejarah seni persembahan seawal kewujudan seni pentas pada zaman Aristotle dan Plato.

Terlanjur aku mempunyai ruang ini untuk berkongsi pendapat, dan aku menerima pendidikan mengenai kritikan tari dari pusat pengajian ini, aku ingin memberi komentar dari sudut pandang aku. Aku tidak merasakan perspektif ini adalah satu-satu cara yang bakal menyumbang kepada memajukan industri pengajian tari di Malaysia. Tapi sejujurnya, perkara ini aku rasakan penting bagi menyediakan penari yang BERPELAJARAN dengan apa yang menjadi perhatian apabila mula terjun dalam lautan industri tari realiti. Bak kata Prof Anis, sebelum semua pelajar ini turun ke tanah datar selepas beberapa ketika di puncak realm yang tak keterlaluan aku katakan tertutup.

Dinamik persembahan secara keseluruhannya agak mendatar, menurun dan tiba-tiba memuncak, persis papan longsor sukan xtreme ice-skiing. Kontinium antara dua tari ada kala terANYAM rapi dan kemas dan ada juga sebaliknya. Tema persembahan yang menarik yang merupakan tarikan utama kepada persembahan ini telah mewujudkan persoalan antara aku dan rakan, Akmal Ayob;

adakah tari yang dipersembahkan digubah dari pemerhatian dan amatan emik pencipta asal atau pengolah

ATAU

pengunaan lagu yang digubah atas inspirasi yang sama kemudian tari direka kepada lagu ini.

Dari pengamatan aku, ada beberapa tarian hanya dikoreografi keatas lagu yang mempunyai pengucapan tentang seekor haiwan yang dimaksudkan dan tarinya dilihat tidak memperlihatkan sifat haiwan yang cuba digambarkan; Hanuman Salor contohnya, aku gagal melihat hubungkait tatabahas gerak dari aspek semiotik mahupun renungan yang boleh dikaitkan kepada Hanuman atau mungkin seekor monyet/kera. Yang paling menjengkelkan adalah masih wujud koreografer (Wong Kit Yaw) yang masih bermain dengan elemen keanak-anakkan saban tahun, dan terus berilusi yang penari ini adalah kanak2 riang yang bersuka ria dan bukan individu yang bakal menjadikan tari sebagai kerjaya (komentar bebau peribadi ini memang sangat peribadi).

Antara tari yang mungkin aku berjaya baca sebagai persembahan yang selari dengan interpertasi aku tentang persembahan ini adalah Datun Julud, Tarian Merak, Timang Burung, Ketam Renjong, Ketam Bawa Anak, Kuda Pasu dan Saba Anak Tedung. Sifat fizikal haiwan yang diinspirasikan dalam tari2 ini dapat dibaca dari pulsa kinestatik setiap sendi penari dan kualiti dari aspek posture dan jisim pergerakan boleh memperlihatkan cetusan inspirasi seperti kata-kata Alam Takambang Menjadi Guru.

Walaupun begitu, perkara ini tidaklah mengganggu aku untuk terus menonton sambil berhibur sepanjang persembahan. Yang menghampakan adalah kualiti persembahan penari secara kolektif dalam sesebuah kumpulan penari agak menghampakan. Dalam item persembahan pertama yang aku rasakan terlalu pendek durasinya, fokus memperlihatkan sifat harimau yang digambarkan dari renungan moden (merujuk kepada renungan dan pandangan revolusi perindustrian pada abad ke 18 - ke 19); renungan lelaki, telah sekaligus menghilangkan kualiti dan estetika silat yang pernah dinyatakan di dalam kuliah Kritikan Tari ketika kami membincangkan tentang karya Shafirul Azmi Suhaimi, Tapak 4. Sesedar aku, sifat harimau sangat tenang dan terkawal, sama seperti sifat kesenian silat itu sendiri. Dalam ketenangan ini wujud ketangkasan dan sentiasa bersedia dengan apa kemungkinan dan ini menyebabkan silat itu mempunyai nilai estetika MELAYU yang tinggi. Aku gagal membaca perkara ini ketika Nuur Faliza memprojeksikan presentasi ini. Yang aku lihat adalah seolah beliau hanya ingin masuk dan terus menyerang dan ini sangat berlainan dengan sifat Harimau yang mungkin secara umum semua tahu. Jika Silat yang diperlihatkan, elemen merendah, tenang dan ketangkasan yang kami kenal pasti ketika kuliah dulu aku gagal membacanya. Gerakan pantas berterusan pada pendapat aku, BUKAN TANGKAS, tetapi dinamiknya tinggi. Ego memperlihatkan serangan yang berterusan dengan penggunaan otot yang ditegangkan sepanjang persembahan adalah bukan sesuatu yang aku ingin tonton apabila aku disogok sesuatu persembahan solo oleh seorang penari yang berbakat besar ini. Jelas sekali aku melihat presentasi ini dari konteks kesenian silat secara konvensionalnya dalam ruang lingkup budaya Melayu di Malaysia khusunya aliran Gayong Fatani didikan Arwah Anuar Wahab (Al fatihah).

“Dalam masyarakat Melayu, terdapat berbagai-bagai aliran silat yang menggunakan harimau sebagai teknik bela diri seperti pematahan, kuncian, cakaran dan sebagainya” Buku Program Tapestry 2011-11-26

Estetika Datun Julud yang aku tonton melalui presentasi PeTA 2003 terlihat replikasi dalam persembahan olahan Gloria Patie. Selain dari pelepah yang artificial (dikhuatiri membawa kepada kepupusan burung kenyalang sekiranya menggunakan bulu yang asal, selain daripada harganya yang mahal, tapakan kaki beberapa penari sahaja yang sedikit mengganggu sepanjang presentasi ini. Kualiti terkawal sekumpulan penari wanita yang dirias denga rambut lepas sederhana dan ditatahkan dengan hiasan yang ringkas tetapi kompleks kelihatan sederhana dan saujana mata memandangnya. Dinamik yang berbeza dalam tari Merak yang dipersembahkan sepasang penari mula menunjukkan kelok dinamik yang berbeza dalam episod persembahan Tapestry 2011. Aksen muzik dan ritma pergerakkan tangan dan kaki kedua-dua penari ini sangat mereplikasi merak yang sebenar, tanpa mengenakan lukisan dimuka yang menjerit “AKU BINATANG ITU..” Yang hanya menjadi ironi dalam persembahan ini tiada binari. Kerana secara fizikal, kedua-dua mereka adalah merak jantan. Pasca moden kah (at least that’s what I have in mind)?

Joget Gamelan antara item yang aku nantikan. Estetika pulsa gerak yang selari dengan paluan kenong dan ada kalanya jatuh pada ketuk tetawak/gong, juga liuk campak yang selari dengan melodi mainan bonang antara estetika yang sentiasa menari minat aku. Tapi aku hanya mampu menjustifikasi apa yang aku ingin lihat kerana jika diinterpertasi dari apa yang aku lihat, kata-kata aku diawal perenggan tadi hanyalah retorika seorang penari gemuk (BOLEH??). Kegagalan ini pada pendapat aku bukanlah kesalahan oleh pengolah atau koreografer tari ini. Kefahaman penari terhadap instrumentasi orkestra gamelan itu kelihatan kurang disini. Formasi yang terbahagi kepada kumpulan yang kecil dan aksen pergerakan yang kompleks telah memperlihatkan kelemahan beberapa orang penari dalam kelompok ini memahami muzik gamelan itu sendiri. Antara perkara yang mungkin menyumbang kepada interpertasi tari ini mungkin kurangnya pengetahuan tentang asal usul tari ini oleh penari. Aku juga baru sedar tentang kepentingan pengetahuan sejarah sesebuah tarian membantu dalam pemahaman nuansa gerak tari tradisional di Malaysia khususnya akhir tahun 2010 dan pengetahuan tentang elemen ini sekali lagi aku temui kepentingannya dalam justifikasi berujuk semasa aku membaca buku terbaru Dr Joseph Gonzales.

Ketam Bawa Anak adalah tarian yang aku sangat rindukan. Kali pertama aku menontonnya adalah pada awal tahun 2004 dalam sebuah persembahan di mini audi MTC dan ditarikan oleh pengolah tari ini, Firdaus Mustapha Kamal dan Shafirul Azmi Suhaimi di bawah kelolaan Dr Zami Harun. Estetika repertoire Terinai yang memperlihatkan letak posisi dan graviti pada setiap set frasa paluan gendang, dan ayunan garis selari dengan serunai serta penepatan setiap posture yang tepat pada paluan tetawak/gong sangat mengubat rindu. Sekiranya ada perkara yang negatif aku terpaksa katakan dalam presentasi ini, mungkin pada apungan badan yang memberi interpertasi kepada aku untuk membaca ada dikalangan penari tidak memahami muzik terinai ini.

Apa yang aku boleh katakan tentang Rampaian Reptilia sebenarnya tak banyak. Aku tidak competent dengan keduanya. Apa yang aku boleh katakan sifat haiwan yang cuba digambarkan sangat literal dan kostum cengkerang pada pendapat aku agak keterlaluan. Untuk Saba Anak Tedung, penari dilihat kurang jelas dengan apa yang mereka lakukan. Tidak keterlaluan kalau aku katakan ada diantara mereka seolah sesuka hati melakukannya. Jika persembahan ini berlaku dalam sebuah kampung di Dungun, Terengganu di halaman rumah seorang aktivitis tari ini, mungkin aku boleh terima presentasi ini. Malangnya ini bukan perkara yang berlaku,

“Ketam Bangkang adalah salah satu tarian orang Asli atau orang Asal Seletar di Bakar Batu, Johor Bahru. Tarian ini diilhamkan dari aktiviti harian masyarakat Orang Asli ketika mengutip kupang, menangkap ikan dan ketam” Buku Program Tapestry 2011.

Ketam Bangkang pada pendapat aku sebuah representasi aktiviti masyarakat orang Asal Selatar. Jika aku perhatikan dari aspek fizikal tarian/struktur penuh setiap frasa, aku hanya berjaya membaca aktiviti seharian masyarakat ini ketika mengutip hasil tangkapan dan makan dan bergembira sambil melakukannya. Mungkin inspirasi ini aku lihat kurang tepat dengan tema superficial persembahan. Tapi ini dari sudut pandang aku.

Presentasi Rampaian Mamalia merupakan rangkaian tari yang bertenaga keseluruhannya. Kuda Pasu yang diolah masih memperlihatkan estetik kinestatik yang sememangnya dapat dilihat dalam presentasi tari ini sebelum ini. Hentakkan kaki posture penari yang berbeza antara lelaki dan perempuan jelas memperlihatkan adaptasi sifat kuda yang merupakan pengangkutan utama masyarakat Bajau dan lelaki adalah golongan yang majoritinya menunggang kuda ini. Olahan yang ringkas dan ketangkasan yang aku harapkan terlihat dalam Silat Harimau jelas dalam presentasi ini. Mabuk Kuda Kepang berjaya di’lakon’kan diatas pentas sehingga aku tertanya, mengapa rasa lagu diawal persembahan dengan kesan lampunya yang bertujuan mencetus rasa sakral digunakan. Sesudah itu, variasa ritma paluan lagu Kuda Kepang yang digunakan seolah memberi rasa ceria yang sangat berpincangan dengan intensi persembahan dipermulaan. Rumusannya, Kuda Kepang adalah presentasi kemabukkan tapi aku kurang pasti apa yang membuatkan penari semuanya mabuk.

Tari Pelanduk = Tari Ikan. Aku takde kata yang sopan untuk menerangkan interpertasi, dan justifikasi kedua2 tarian ini.

Apa yang aku dapat rumuskan di sini, apa yang digambarkan dalam sinopsis persembahan yang aku letakkan di blog aku ini tidak terlihat. Rasa ‘hampa’ nilainya terlalu tinggi arasnya untuk menolok perasaan menonton Tapestry manakala ‘ok je’ pula terlalu rendah. Tapi, dari hanya menonton persembahan yang kurang 2 jam ini, banyak perkara yang dapat aku kenal pasti dan sangat berguna untuk dijadikan pedoman untuk menempuh hidup sebagai artisan bebas di Malaysia. Usaha seperti ini harus diteruskan supaya ASWARA terus melangkah kehadapan tak melupakan tradisional.

p/s: Kalau tak ada tugasan, banyaklah masa nak mengarang panjang-panjang. Tapi biasalah. Tak semua suka apa yang kita tulis, macam aku takkan pernah suka apa yang Wong Kit Yaw buat (selepas "karya tampalan" penantian berbaju cheongsam, berkuku merah, bersteleto tinggi, simbolika penantian sejati hingga kini). Sama je.



Comments

Popular Posts