Peranan Seniman Islam (ringkasan) ke??



Tidak terdapat sebarang kajian lagi yang telah membincangkan hubungan antara kesenian Bharatanatyam dan Islam. Akan tetapi telah wujud artikel yang membincangkan tentang peranan seorang Muslim dalam mengekspersikan diri mereka kepada medium seni.

“Insan sebagai terindah kejadian yang sebahagian dari mereka tergarap dengan elemen seni sama ada melalui pendidikan atau pengalaman, mudah tersentuh dan mampu meluahkannya medium seni yang diminati” – Shafie Abu Bakar, Seni Islam : Perjalanan Kualiti ke Rohani (Persidangan Seni Budaya dan Warisan 3 – 5 Ogos 2006).

Kata-kata ini jelas menyatakan bahawa, dalam Islam jelas wujud kesedaran terhadap kesenian. Setiap umatnya sedar akan wujud perasaan sensitif dalam setiap diri manusia dan persaan ini diterjemaah dalam bentuk atau medium yang lain (seni persembahan). Perkara ini juga dikatakan berlaku bertitik tolak dari keindahan kejadian manusia itu sendiri. Juga telah dinyatakan dalam tulisan Shafie Abu Bakar ini juga bahawa manusia ini telah dicipta dengan sedikit nilai seni dalam dirinya.

Oleh sebab wujud nilai sensitif, terutama dikalangan pengiat seni, kesedaran terhadap kawalan nafsu sangat penting. Nafsu ini jelasnya yang akan membawa kepada kelalaian umat Islam dalam memperlakukan seni. Sepertimana firman Allah swt:

“Bahawa nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan (nafsu ammarah)”(Yusuf, 12 : 53)

Dari keterangan ini, jelaslah bahawa setiap insan harus berhati-hati dalam mengikut kehendak dan keinginan. Yang jelas dinyatakan, setiap manusia mempunyai nafsu amarah, yakni nafsu yang sering membawa manusia dalam melakukan kejahatan.

Sebagai umat Islam, dalam melakukan aktiviti kesenian haruslah wujud nafsu lawwamah; nafsu yang sentiasa menegur akan perkara yang baik dan melebih-lebihkannya, dan perkara yag tidak baik yakni menjauhkannya. Ini dapat mewujudkan kesedaran dikalangan umat Islam dalam mempraktis kesenian, supaya tidak lalai dan leka. Setiap pengiat seni Muslim harus banyak menerapkan nafsu mutmainnah iaitu nafsu baik, tenang dan bahagia dalam sebarang aktiviti dan perlaksanaan kesenian supaya tidak melanggar pegangan. Seperti Firman Allah swt dalam Surah Muhammad: ayat 33, umat Islam diperintah untuk menjauhi segala perkara yang membawa kepada syirik yang seterusnya (menurut Imam al-Razi) membolehkan pembatalan amal seperti yang dinyatakan dalam Firman Allah swt dalam Surah al-Zumar: Ayat 65.

Dasar al-ibadah al-asliyyah (segala yang harus, kecuali yang dilarang) adalah dasar yang menjadi aplikasi dalam kesenian tempatan dikalangan pengiat seni beragama Islam. Definisi dasar ini jelas menunjukkan bahawa tiada sebarang halangan dalm Islam selain tidak menyentuh kepada aspek ketuhanan.

“Islamisasi memang membawa implikasi kebudayaan, termasuk penghapusan sebahagian warisan budaya yang bertentangan dengan prinsip nilai dasar ajarannya. Tetapi penghapusan biasanya hanya akan berlaku ketika tidak ada jalan lain.” Warisan Seni dan Budaya: Perspektif Islam: Siddiq Fadzil, Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej Dar al-Hikmah.

Kesenian dan kebudayaan banyak menerima impak setelah kehadiran agama. Akan tetapi, sebagai seniman Islam, pengamalnya harus toleren dalam penerimaan dan penyampaian kesenian. Masih berpegang kepada konsep eksklusifisme, Islam masih membenarkan praktis kesenian selagi ianya tidak memesongkan pegangan dan aqidah umatnya.

“Saya ingin tegaskan bahawa amalan fizikal tanpa sebarang unsur-unsur pemujaan boleh diteruskan, ertinya tidak diharamkan. Saya percaya umat Islam tidak mudah untuk disyirikkan”. Ujar Bekas Perdana Menteri Malaysia Dato Abdullah Ahmad Badawi ( Jangan putar-belit fatwa: Pak Lah, Harian Metro Online 27 November 2008 – Khamis)

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia yang bersidang pada 22- 24 Oktober 2008 yoga tidak sesuai untuk orang Islam kerana dikhuatiri akan menjejaskan aqidah. Ahli muzakarah menyatakan juga bahawa sebarang aktiviti yang berbentuk subahat dilarang akan tetapi pergerakan yoga yang dilakukan tanpa perkara subahat dibenarkan.”

Oleh sebab itu, seseorang pengamal seni atau seniman yang beragama Islam, haruslah sentiasa sedar akan batas dan limitasi dalam praktisnya. Selain dari itu, pengetahuan yang tinggi tentang sesebuah bentuk kesenian sebenarnya merupakan cara terbaik dalam pemuliharaan dan warisan kebudayaan.


Petikan dari penulisan mini thesis "Tarian Bharatanatyam Dikalangan Pelajar Islam di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)" oleh Mohd Fairuz Bin Mohd Tauhid


Comments

Popular Posts