Wajah wajah tari...


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّه  وَبَرَكَاتُهُ

Apa yang menarik malam tadi adalah apabila aku dapat meluangkan masa menonton 3Faces di ASWARA (Thanks Yunus and Safini). Sejujurnya, bila aku tahu tentang apa yang bakal dipersembahankan, terus aku rasakan yang persembahan ini bukan satu keperluan untuk aku. Ini kerana 2 dari 3 item persembahan ini adalah persembahan penilaian akhir pengajian ijazah sarjana muda sesi pengajian 2010/2011 yang aku telah tonton. Tapi memandangkan aku takde sebarang aktiviti pada hari ini, aku terus mengambil keputusan menontonnya.

Aku tidak mahu berkongsi tentang kehebatan persembahan tari yang memperlihatkan kebolehan setiap penari melakukan pergerakan tari yang pelbagai disiplinnya. Kemampuan badan setiap penari ini tidak dapat disangkal dan mereka kelihatan telah menerima latihan yang cukup dalam setiap disiplin.

Perkara yang aku ingin kongsikan adalah sejauh mana setiap pergerakan yang diprojeksikan itu ditarikan. Tari jika dibincangkan dalam konteks tertentu, ia akan membawa kepada justifikasi yang berbeza yang juga akan meletakkan nilai estetika tertentu terkesan dari bagaimana ia dipersembahkan dan diterima. Mungkin kerana sudah hampir dua tahun aku tidak berpeluang menonton pelbagai bentuk persembahan tari; tidak seperti semasa aku masih menuntut dulu, pemerhatian aku mungkin sudah tumpul dan sekiranya ada yang membaca mengatakan pandangan aku ni satu dimensi, aku terima.


Bharatanatyam yang membuka 3Faces merupakan presentasi yang berjaya meletak graf persembahan pada satu tahap yang tinggi. Walaupun begitu, persembahan yang dilihat sangat teknikal ini seakan robotik. Tapakan kaki yang selari dengan symbal dan mridhanggam, di mata aku kelihatan seperti pergerakan yang mempunyai kebolehan kinestatik yang tinggi juga ketepatan yang sangat konsisten. Sehingga pada satu ketika, terlihat seolah estetika tari ini terdorong pada pola lantai dan ketepatan tapakan kaki dan posisi tangan juga mudra SEMATA. Ekspresi tari ini juga pada pandangan aku yang sudah semakin tumpul seolah dibuat-buat dan bukan terdorong dari nyawa dan roh penari. Aku mula merasakan yang aku melihat presentasi kebolehan menarikan Bharatanatyam dan bukan persembahan Bharatanatyam. Either way, aku tetap terhibur dan kagum dengan kebolehan penari dalam bahagian ini.


Mak Yong di bahagian kedua persembahan 3faces pada pendapat aku terlalu ringkas. Tiada apa yang tidak menyenangkan tentang persembahan ini. Hanya ia terlalu pendek dan aku harus akur yang ia merupakan persembahan komplilasi. Perkara mengenai durasi persembahan harus ditoleransi.


PLAN B, adalah cubaan yang baik. Buat kali keduanya, persembahan ini memperlihatkan usaha untuk memperbaiki presentasi PLAN B yang sebelumnya. Yang sedikit mengganggu aku adalah babak silent movie yang menjadi transisi antara seksyen dalam persembahan tari ini. Mengapa ianya dipilih sebagai transisi, aku tiada statement yang dapat menjustifikasikan keadaan ini. Tapi, ada seorang rakan menyatakan bahawa, mungkin ia sebuah persembahan tari, dan dialog atau perungkapan aku menyebabkan persembahan tari ini bakal diprojeksikan berbeza.

Usaha memperlihatkan kebolehan setiap penari dalam setiap bahagian wajar dipuji. Memang sukar untuk melatih seorang penari memperlihatkan kebolehan maksima dalam setiap tari. Tapi yang mungkin aku terpadang adalah kegagalan aku membaca usaha pemahaman nuansa setiap tari dari setiap penari. Dari aspek kinestatik dan mungkin teknikal, kebanyakkan penari yang terlibat dalam persembahan ini berjaya melakukannya. Kualiti gerak maksima cuba diprojeksi oleh setiap penari. Yang aku gagal perhatikan adalah projeksi penari dalam membezakan nuansa  setiap tari. Mungkin juga bacaan aku dalam persembahan tari semakin lemah kerana kini, sejak bekerja dilapangan, aku cuba meresap pelbagai genre persembahan yang mempunyai pelbagai komponen berbeza yang membinanya.

P/S: seperkara yang mengganggu pemandangan aku adalah make up penari wanita. Ia kelihatan garang dan jahat. Mungkin kerana bentuk kening tanpa lekok yang lurus ke atas memberi kesan ini.

Sumber Visual: Yunus Ismail FB. James Quah Dance Photographer

Comments

Popular Posts