Choreographer dalam bahasa Melayu adalah Koreografer

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّه وَبَرَكَاتُهُ

Sedari umur 6 tahun, aku sudah mengetahui apa yang aku sukakan dan bakal menjadi kerjaya bila aku sudah dewasa; KOREOGRAFER. Tapi masa aku darjah 1, aku tak tau la perkataan koreografer tu apa. Aku bertanya pada guru kelas aku pada ketika itu, darjah 1T, Puan Faizah, dan beliau la yang memperkenalkan perkataan ini kepada aku. Tapi yang mendatangkan sedikit kekesalan dewasa ini, ramai rakyat Malaysia khususnya tidak tahu apa itu koreografer. Jadi aku nak share la sikit apa itu tari pentas, koreografer dan koreografi.

Tari Pentas
Karya tari pentas adalah satu bentuk persembahan yang memperlihatkan luahan dan ekspresi yang dipengaruhi oleh keadaan sosial, ekonomi dan politik sesebuah tempat. Selain dari itu, dalam koreografi juga, seseorang koreografer juga akan melibatkan tingkah laku, gaya, falsafah dan personaliti mereka. Proses penghasilan karya tari pentas ini juga berkemungkinan akan berlaku dalam pelbagai cara. Antara dua pendekatan dari pelbagai pendekatan dalam penciptaan tari yang popular adalah samada melalui proses improvisasi, yang membenarkan penari meluahkan interpertasi peribadi dan koreografi terkawal; binaan dan rekaan tari yang dikawal secara bentuk (form) oleh koreografer. Walaupun begitu, pendekatan dalam pengkaryaan tari memperlihatkan kepelbagaian juga wujud gabungan beberapa pendekatan yang berbeza dalam penghasilannya.

Dalam penghasilan karya tari pentas, personaliti koreografer akan terlihat dalam karyanya berdasarkan pengalaman dan kerja badannya. Oleh yang demikian, sesebuah karya tari ini, secara tidak langsung memperlihatkan siapakah individu yang menciptanya. Ia seolah-olah mempersembahkan diri penciptanya dalam pengkaryaan tarinya. Selain dari personaliti peribadinya, dalam sesebuah karya tari juga akan memperlihatkan interpertasi perekanya terhadap individu, dan mungkin juga setiap unit masyarakat disekeliling beliau (Humprey, 1959, ms. 20).

Koreografer
To consider further traits important to the choreographer: This person is nort only sensitive to people but is an observant in general; he is not just interested in, but fascinated with, all manifestations of form and shape. He notes the designs in his everyday living, wherever he may be (Humphrey, 1959, ms. 22).

Dari kenyataan Doris Humphrey di atas, koreografer adalah seorang individu yang mempunyai kesungguhan dalam mereka tari. Kesungguhan ini juga dilihat selari dengan pengetahuan, kebolehan dan kreativiti individu itu dalam menggunakan tari sebagai sebuah medium ekspresi diri mereka (Humphrey, 1959, ms. 22-25). Perkara yang dinyatakan ini berkembang dari bakat yang sedia ada dalam individu itu. Semua elemen dalam menjadikan seorang individu itu sebagai seorang koreografer tari juga akan dipengaruhi oleh personaliti dan posisi individu ini sebagai satu unit dalam sesebuah masyarakat. Bidang koreografi merupakan satu bidang yang banyak memberi pengaruh dan menyumbang kepada perkembangan industri seni tari pentas.

Whatever the individual style, whatever the interests of the choreographer or where his passion may lie – the process of the choreography requires dedication, determination, thought and perseverance. Irrespective of how talented and creative a person may be, without nuturing, fine-tuning and developing this God-given talent, it will come to naught-nothing! (Gonzales, 2004, ms. 207)

Seorang koreografer juga berkemampuan dalam menterjemahkan sebarang bentuk komunikasi kepada satu bentuk persembahan tari. Kejayaan kepada perkara ini adalah tergantung kepada pengetahuan dan pengalaman mereka. Dalam proses penterjemahan ini, secara tidak langsung koreografer akan memberi komen mereka terhadap bahan ini.

Koreografer juga adalah individu yang bukan hanya berminat, tetapi juga sensitif dengan apa yang berlaku disekitar beliau; tingkahlaku, pergerakan, aksi dan reaksi serta emosi beliau juga manusia disekitarnya. Bukan hanya itu, seorang koreografer juga akan memerhatikan bentuk-bentuk yang dirasakan menarik termasuklah bangunan, alam sekitar dan macam-macam lagi (Humphrey, 1959, ms. 20-21).

Koreografi
Koreografi pula dilihat sebagai satu struktur gerak yang telah direkacipta dan dibina melalui pelbagai proses. Dalam penghasilan karya tari, terdapat pelbagai kemungkinan yang boleh digunapakai. Dalam penghasilan koreografi, perkara-perkara seperti idea, pemikiran, pendapat, kenyataan dan kreativiti diprojeksi dalam bentuk tari yang terdiri daripada permulaan, pertengahan dan penghabisan (Gonzales, 2006, ms. 14).

Komponen dalam pembinaan koreografi juga boleh melibatkan aktiviti eksplorasi aras, ruang dan jangka masa. Aras ini akan membantu dalam melihat kepada kontor binaan koreografi. Permainan ruang akan membantu dalam memperlihatkan kepelbagaian pola lantai serta mencipta dimensi dalam sesebuah koreografi. Jangka masa pula akan membantu dalam memberikan kesan dinamik dalam persembahan tari.

Terdapat pelbagai bentuk dan kemungkinan dalam mencipta tari. Titik permulaan dalam penghasilan koreografi selalunya tergantung kepada kehendak koreografer dalam memilih apa yang ingin dipersembahkan; isu semasa, tatabahasa gerak baru, sejarah dan macam-macam lagi. Binaan koreografi ini pula boleh disusun dan digubah dalam pelbagai bentuk contohnya, naratif, episodik, ABA dan kolaj. Akan tetapi, diakhirnya, sesebuah koreografi akan memperlihatkan tujuh elemen utama sesebuah persembahan; dinamik, ruang, bentuk tari, tema, muzik, sinografi dan impak artistik (Gonzales, 2006, ms. 15).

p/s: Diharap info ini dapat membantu sesiapa sahaja yang ingin mengetahui tentang tiga perkara ini. Semua info di atas adalah petikan dari Penulisan ilmiah Mohd Fairuz bin Mohd Tauhid yang bertajuk GARAPAN ELEMEN TARI DAN BUDAYA MELAYU ISLAM DALAM TARI KONTEMPORARI DI MALAYSIA : ARIS KADIR.

sumber visual: James Quah Dance Photographer, ASWARA.

Comments

Popular Posts