Penari dan Harga Diri

Assalamualaikum

Baru sahaja selesai membaca sebuah artikel tentang harga penari, khususnya di Malaysia. Menarik tentang artikel ini adalah kupasan mengenai payah jerih proses penciptaan satu bentuk persembahan yang dinamakan tari ini. Juga dinyatakan secara ringkas perbandingan antara profesi lain yang berkaitan dengan persembahan ini juga.

Banyak betulnya apa yang dikupaskan dalam artikel itu. Tapi yang sedihnya, apa yang berlaku dalam komuniti tari sendiri. Sejak wujudnya pendidikan tari secara formal di Malaysia, seolah mula wujud dua tahap penari yang berbeza di Malaysia; samada yang diklasifikasikan oleh spektator atau penari itu sendiri. Interaksi dalam komuniti seperti ini adalah salah satu punca kesatuan tidak wujud dalam individu-individu dalam bidang tari. Bila tidak bersatu, jelas sekali persetujuan memang sukar hendak dicapai dan ini hanya salah satu punca kecil. Tanpa persetujuan yang mudah perkara ini tidak akan berkembang.

Meminta pihak produksi untuk mengenakan bayaran lebih tinggi untuk penari adalah seperti meminta bayaran sebanyak RM20 sejam untuk jurujual di gedung membeli belah. Perkara yang menyebabkan pihak produksi terus dengan harga yang sama sebenarnya dipengaruh oleh pelbagai aspek, antaranya:

1. 'Produk Imitasi'
Suka atau tidak,penari-penari hasil latihan formal harus sedar tentang perkara ini. Sejak dari dulu, telah wujud penari-penari imitasi ini. Penari imitasi yang aku maksudkan ini adalah mereka yang punya kerja tetap dan kerjaya sebagai penari ini sebagai hobi dan pendapatan sampingan. Mungkin tidaklah 100% yang aku cakap ini benar. Tapi penari imitasi boleh bekerja dengan imbuhan yang sangat minimum. Aku tak kata mereka bukan penari berkualiti ya.

2. 'Kecintaan Terhadap Seni'
Kecintaan yang mengila terhadap seni juga menyebab bayaran adalah perkara kedua pada sesetengah penari di Malaysia. Kebanyakan dari mereka ini golongan yang berada dan tiada yang mendesak mereka untuk memenuhi kehendak fisiologi mereka. Cinta mereka terhadap seni sangat tulus, dan duit hanya akan mencemar hubungan suci ini.

3. 'Produk > Keperluan'
Bila sudah bercampur aduk produk imitasi dan produk ori, semakin banyak la produk yang sama diiklankan. Kalau produk lebih banyak dari keperluan pengguna, INFLASI. Bila wujud inflasi, nilai produk mula jatuh dan inilah yang sedang berlaku dalam dunia tari tempatan.

Semua perkara ini wujud atas satu sebab kukuh; tiada apriasi dikalangan masyarakat Malaysia. Bukan satu perkara yang mudah untuk menetapkan satu nilai dalam sesebuah persembahan supaya keseluruhan komuniti menerimanya pada tahap yang sama. Dalam keadaan sekarang ini, ia semakin sukar. Yang menyumbangkan kepada turun naik nilai dan aprisiasi ini juga datang dari komuniti penari ini sendiri yang mempunyai konflik inter-komuniti.

Secara ringkasnya, pada pendapat aku, masalah harga diri penari sebenarnya diletakkan oleh penari itu sendiri. Tidak kasar kalau aku katakan gaya penari me'lacur'kan diri di atas pentas mempengaruhi nilai 'jual'an perkhidmatan tari. Kalau pengguna dapat kualiti penari yang baik dengan harga yang murah, mengapa mereka nak bayar lebihkan. Macam kalau kita boleh beli bag LV dengan harga rm50 yang kelihatan hampir sama dengan LV yang berharga RM1500, kenapa tidak kita berjimat. Nilai ketulenan itu hanya peminat fesyen LV sebenar sahaja yang dapat mengenalpastinya.

P/S: Aku bersyukur dengan rezeki yang Allah swt kurniakan ke atas diri aku selama ini. Memang kadang-kadang ada masa dan ketika aku pernah menerima bayaran yang agak rendah. Tapi aku yang memilih ini sebagai kerjaya. Aku tidak hak mempersoalkan nilai dan aprisiasi orang lain terhadap hasil seni aku. Yang penting aku ikhlas, insyaallah.

Comments

Popular Posts