GELOMBANG 'BARU' ke, WHITE SUPREMACY????

Hujan turun dengan lebat pada 28 Mac 2010 jam 8 malam. Ini tidak langsung mematahkan semangat saya untuk memandu diri ini dan dua orang rakan ke teater eksperimen ASWARA untuk menyaksikan persembahan yang pernah menjadi ‘kanvas’ untuk saya memperlihatkan karya seni tari pentas satu masa dahulu. Gelombang Baru merupakan sebuah produksi Fakulti Tari yang menghimpunkan karya-karya tari graduan dan pelajar ASWARA. Gelombang Baru berperanan sebagai pengenalan kepada pelajar tentang persembahan tari kontemporari di Malaysia. Seperti biasa, Fakulti tari ASWARA sering menggalakkan pelajar membuat persembahan untuk tontonan umum. Ini dilihat dapat membantu memperkenalkan pelajar dan graduan ASWARA kepada unit yang bergiat aktif sebagai artisan tari di Malaysia, khususnya Kuala Lumpur.

Yang lebih menarik untuk musim ini, terdapat lebih banyak penyertaan dan pelajar yang berminat dalam mempersembahkan karya tari juga bertambah. Sehinggakan persembahan Gelombang Baru tahun ini melalui sesi ujibakat dan pensyarah-pensyarah akan memilih siapakan pelajar yang layak untuk mempersembahkan karya tari mereka. Selepas dua hari ujibakat yang telah dijalankan pada jam 4 petang di studio tari utama ASWARA pada 16 Mac 2010, senarai nama mula dinaikkan dan nama-nama ini tertera sebagai mereka yang layak mempersembahkan karya tari mereka; Fairul Zahid, Naim Syahrazad, Hanafi Rosdi, Azizi Mansor dan Xin Ying, Gloria Patie, Fione, Dhura dan yang menarik perhatian saya, Dhanya dan Suhaili. Disini bermula ‘gelombang baru’ persembahan ini.

Saya secara peribadi mula keliru dan terfikir sejenak tentang perkembangan tari kontemporari di Malaysia semasa karya bertajuk Seasons oleh Naim Syahrazad sedang dipentaskan. Pertama sekali suka saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua penari yang telah menjayakan persembahan ini. Anda semua telah menari dengan sangat baik terutama Hazra Ghazaly, Ruby Wahid, Dhanya, Suhaili, Rizzie dan Melinda Kwong. Sebagai penari, anda telah melaksanakan ‘tugas’ anda dengan baik. Pengunaan instrumen yang sangat baik dari anda, penyampaian karya yang anda terlibat berjaya diperlihatkan kandungannya. Ketika sedang menonton karya Season ini, saya mula tertanya, apa yang menjadi ‘embarking point’ semua koreografer yang berkarya malam ini. Apakah inspirasi mereka? Dan Ironinya mengapa mereka memperlihatkan budaya dan norma Barat dalam presentasi mereka, sedangkan mereka menuntut di institusi yang mempunyai motto, ‘melangkah ke hadapan bersama tradisi’. Atau ini adalah tradisi kini di ASWARA.

Apabila perkara ini bermain dalam fikiran, saya mula melihat dengan lebih terperinci tentang ‘tuduhan’ yang dibuat oleh saya ini. Aspek pertama, pemilihan tajuk, Waiting oleh Hanafi Rosdi, Not Only Me oleh Fairul Zahid, Seasons oleh Naim Syahrazad, Voodoo oleh Dhura, Salvage oleh Suhaili dan Dhanya, Awake oleh Fione, Beginning oleh Azizi Mansor dan Xin Ying dan Does it Fit oleh Gloria Patie. 100% tajuk dalam presentasi ini dalam bahasa Inggeris. Kurangkah keindahan bahasa Melayu sehinggakan tajuk karya ditulis dalam bahasa Inggeris. Secara jujurnya, perkara ini harus dilihat oleh pihak Fakulti dari aspek akademik. Pemilihan tajuk dalam karya tari kontemporari bukanlah dimestikan dalam bahasa Inggeris. Tajuk-tajuk seperti Tapak Empat, Berinai, Nasi Putih, Dari Diri Dewi dan Lemak Berjangkit pada pendapat saya dapat memberi tanda yang karya ini merupakan karya tari kontemporari tempatan. Disini saya bukan menyatakan penggunaan bahasa Inggeris sebagai tajuk itu salah, akan tetapi saya hanya ingin memastikan bahawa bahasa ini digunakan bukanlah dengan tujuan untuk menglobalisasikan karya tari mereka.

Secara fizikalnya pula, tatabahasa gerak yang digunakan dalam semua koreografi banyak mengutamakan dan memperlihatkan teknik tari kontemporari Barat, dengan kaki di angkat tinggi, memperlihatkan fleksibiliti, berguling di lantai, melompat dan macam-macam lagi bentuk gerak yang tidak dapat disangkal ‘keBARATan’nya. Sebagai penari, saya tidak menafikan kepentingan teknik ini kepada seorang penari. Akan tetapi saya hanya musykil dan keliru adakah dengan melakukan pergerakan contohnya developé sehingga lutut menyentuh telinga merupakan ukuran kepada ‘kehebatan’ seseorang penari? Sekaligus adakah penggunaan bentuk ini dalam karya tari kontemporari akan menjadikan sesebuah karya tari itu lebih baik. Ini antara persoalan yang saya sendiri masih berusaha untuk mencari jawapanya.

Bukan ingin mematahkan semangat juang karyawan tempatan. Aplikasi multidiciplinary dalam Waiting karya Hanafi Rosdi dilihat sebagai satu yang sia-sia, dan sebagai sebuah karya tari, saya tidak dapat meletakkannya dalam genre tari yang mana. Ia lebih kepada bentuk presentasi video semata dan tiada sebarang koreografi dalam presentasi ini, hanya komposisi gerak yang terlampau ringkas. Secara peribadi, saya telah menonton banyak koreografi yang melibatkan kerja-kerja kolaburasi filem dan tari seawal pendekatan ini diperlihatkan oleh Merce Cunningham dalam karya beliau, antaranya Channels/Inserts (1981), Beach Birds for Camera (1992) dan Roamin’ 1 (1980). Pada pendapat saya, perlaksanaan karya ini lebih baik sebagai filem pendek berbanding tari.

Awake telah menjagakan saya kepada sebuah bentuk presentasi tari yang sangat mengujakan. Persembahan yang bermula dengan duet yang ditarikan diatas sebuah set yang berupakan sebuah buaian besi, memberi kesan dan impak sebagai satu visual. Kebijaksanaan koreografer, Fione, adalah dalam pemilihan ruang yang ingin diguna dalam koreografernya. Kisah sepasang manusia yang mempunyai perhubungan yang baik dan kemudian dipisahkan oleh samada takdir, jodoh atau ajal adalah sesuatu yang sangat clise untuk sebarang bentuk seni persembahan. Akan tetapi, Fione berjaya memperlihat presentasi yang sangat baik dalam sebuah bentuk tari kontemporari. Menggunakan warna baju sebagai perlambangan watak dan tali yang dilekatkan ke lantai pentas diikatkan ke pergelangan tangan penari melambangkan batasan dan had jangkauan untuk mencapai keinginan adalah pilihan yang serasa saya sangat bijak.

Fairul Zahid mempersembahkan Not Only Me. Karya ini jika dilihat secara fizikal, tatabahasa gerak yang digunakan sangat menarik dan jelas keBARATannya. Karya ini bermula dengan penari berdiri ditengah belakang pentas, dalam kelompok dalam pancaran lampu spot hampir dengan cyclorama. Seketika mereka hanya berdiri sahaja, dan selepas muzik yang memberi rasa misteri yang mengiringi persembahan ini mula melepasi beberapa bar, mereka mula mengira satu hingga sepuluh (ironinya dalam bahasa Inggeris) dalam ritma tertentu dalam sekala 4 krochet dan pergerakan koreografi ini bermula disini. Karya ini menarik di tonton dan binaan tarinya sangat menarik. Akan tetapi, pada pendapat saya, ianya tiada penyampaian dan tajuk yang dipilih seolah tiada hubungkait dengan persembahan tarinya. Dalam karya ini juga, selain menari mempamerkan kebolehan mereke ‘bergerak’ akan tetapi saya tidak dapat turut serta dalam penyampaian tari ini.

Karya yang pada pendapat saya yang mempunyai nilai kontemporari adalah usaha sama Suhaili dan Dhanya dalam Salvage. Kedua-duanya adalah pensyarah dalam Fakulti Tari ASWARA. Berinspirasi dari filem AVATAR, karya ini memperlihatkan apa yang akan belaku didalam dunia ini sekiranyab kita mengabaikan bumi dan tidak melindunginya. Serentak dengan pergerakan ‘Earth Hour’, persembahan ini dilihat releven. Penggunaan tenaga yang minimal dalam presentasi ini juga memperlihatkan sokongan kedua-dua koreografer ini terhadap gerakan ‘Earth Hour’. Mereka hanya memerlukan projeksi untuk menerangi ruang pentas dan koreografer ada meminta penonton yang berminat untuk membawa lampu suluh masing-masing dan duduk disekitar kain putih yang direntangkan ditengah pentas yang bertindak sebagai skrin. Yang lebih menarik dalam presentasi ini juga adalah apabila Dhanya mula menarikan satu bentuj yang bukan menjadi kebiasaan beliau. Saya pernah menonton dan menari bersama-sama dengan Dhanya sebelum ini dan tatabahasa gerak dalam Salvage adalah sesuatu yang baru untuk saya tonton.

Apa yang dapat saya nyatakan disini, jelas perkembangan tari kontemporari bukan sahaja di ASWARA, banyak terpengaruh dan terkesan dari penjajahan minda oleh masyarakat Barat ke atas masyarakat tempatan. Sebagai sebuah institut pengajian, ASWARA harus bertindak dan mengawal perkara ini, bukan dengan menghadkan pembelajaran teknik tari Barat akan tetapi mengimbanginya dengan teknik tari tempatan atau Asia. Selain dari itu, mungkin penari dan koreografer di ASWARA ini telah dipengaruhi dengan fahaman dimana budaya dan norma tari Barat ini adalah sesuatu yang bagus dan hebat. Jika inilah yang bermain dalam fikiran penari dan koreografer yang dilahirkan oleh ASWARA, sasaran untuk mencari identiti tari kontemporari tempatan lama-kelamaan akan dilupakan kesan dari keterujaan untuk menjadi Guillem, Cunningham , Graham dan Ailey.

Comments

Popular Posts