RAWANA ke, Sita ke, Rama ke????

Pada petang Jumaat, bersamaan dengan 18hb Disember 2009, aku didatangi oleh satu pesanan ringkas melalui telefon yang mengajak aku untuk menonton persembahan RAWANA di Dewan Filharmonik Petronas. Tanpa berfikir panjang, aku terus setuju dan teman aku ini telah membelikan tiket untuk aku. Aku teruja untuk menyaksikan pementasan ini kerana aku baru sahaja selesai mementaskan dramatari ULIK dan ingin sekali aku melihat bagaimana dramatari yang bakal dipentaskan oleh Petronas Perfoming Arts Group (PPAG).

Seperti yang semua orang tahu (sekurang-kurangnya aku), PPAG satu masa dulu dilihat sebagai satu kumpulan kesenian yang sangat popular. Himpunan penari dan tenaga kreatif kumpulan ini antara yang disegani dalam industri seni persembahan di Malaysia. Jika dibandingkan dengan artis Istana Budaya, yang bernaung dibawah kerajaan Malaysia, PPAG lebih mempunyai artis budaya dan tenaga kreatif yang lebih berkualiti. Perkara-perkara seperti inilah yang memanggil aku untuk menonton persembahan dramatari RAWANA ini.

Setibanya aku di sana, aku baru maklum bahawa persembahan dramatari RAWANAnya hanyalah satu bahagian dari persembahan pada malam itu. Bahagian yang kedua adalah persembahan himpunan tari rakyat dan suku kaum yang terdapat di Sabah dan Sarawak. Pada aku, ini buikan satu masalah malah aku lihat perkara ini sebagai satu bonus.

Setelah memungut tiket dari safini, aku tanpa melengahkan masa, teruk masuk keruang dewan. Aku duduk di baris G dan kerusi nombor 6 dan kedudukannya sangat hampir dengan pentas. Kalau tak salah 5 ke 6 baris kerusi dari pentas. Perkara pertama yang menarik perhatian aku adalah reka bentuk setnya. Dari segi pembahagian aras, set ini kelihatan sangat menarik kerana dalam akal fikiran aku mula terbayang, bagaimana agaknya ruang ini akan di eksploitasi dalam persembahan ini. Dari segi penataan pula, aku merasakan set ini seolah cukup syarat kerana hanpit 75 peratus binaan set ini hanya menggunakan kain hitam.

Kemudian, beberapa ketika persembahan bermula. Perkara yang menjadi limitasi kepada ruang persembahan yang agak mengganggu aku sebagai penonton adalah laluan masuk keluar. Pada pendapat aku, laluan masuk keluar ini sangat ‘terbuka’ dan ianya (sekurang-kurangnya pada aku) mengganggu konsentrasi untuk menonton persembahan ini.

Dari segi penceritaan pula, pada pendapat aku, jalan cerita kisah ini tidak dikarang dengan jelas. Aku sebagai penonton agak keliru dengan hala tuju kisah Rawana ini. Dalam erti kata lain, fokus persembahan ini tidak jelas. Bertindak dari tajuk persembahan, aku menyangka bahawa persembahan ini akan menggambarkan atau memperlihatkan RAWANA sebagai tunjang utama persembahan. Akan tetapi, pada pendapat aku, watak yang ingin diutamakan tidak berjaya dan tiada satu watak yang dapat dikatakan tunjang kepada pementasan.

Aku juga ada pandangan tentang pemilihan watak yang memainkan peranan dalam persembahan Rawana. Pada pendapat aku, watak-watak seperti, Rawana, Mandudori, Supranakha, Hanuman dan Mak Bidan sahaja yang telah memainkan peranan mereka dengan sangat baik, termasuk semua yang berperanan sebagai ensembel. Selain dari itu, kebanyakkan watak utama tidak memainkan peranan yang baik sebagai pendukung watak. Dalam diberi contoh disini, seperti watak Sita, kelihatan terlalu kasar dan sekali sekala tenaga yang digambarkan adalah tenaga lelaki.

Tetapi, perkara yang dapat dibanggakan adalah artis PPAG sangat komited dalam melakukan persembahan. Mereka telah menunjukkan kesungguhan dalam melakukan persembahan ini. Mereka juga kelihatan ikhlas dalam apa yang mereka lakukan. Yang paling menarik perhatian aku adalah kostum dan tatarias untuk pemertasan ini sangat hebat. Bahagian ini dalam persembahan ini sangat mengkagumkan aku sebagai penonton. Walaupun ramai yang mengatakan bahawa PPAG pernah mempunyai persalinan yang jauh lebih hebat, tetapi pada aku, pakaian yang dikenakan untuk persembahan ini sangat releven dengan tujuan pementasan.

Bahagian kedua pementasan pula adalah Lanai Etnik yang pada pendapat aku sangat indah dan sempurna. Presentasi yang sangat ringkas ini, pada pendapat aku sangat berkesan dalam memperkenalkan tarian-tarian yang terdapat di Sarawak dan Sabah. Kostum untuk bahagian ini juga sangat indah. Hanya mungkin tarian penutup untuk Lanai Etnik ini kelihatan sedikit serabut kerana keindahan kostum yang pelbagai ini kelihatan terlampau ‘sibuk’ di atas pentas. Dan sekali lagi rekaan set ini memperlihatkan betapa kurang praktikalnya ia.

Comments

Popular Posts