PeTA berakhir, langkah bermula.......


Assalammualaikum,

Dua hari lepas, selesai semua sesi bagi penilaian tahun akhir untuk aku melengkapkan pengajian ijazah sarjana muda koreografi. Satu penulisan ilmiah dan dua projek persembahan telah berjaya dihantar dan diperlihatkan. Serta bagi memenuhi kehendak projek, dialog bersama panel juga telah aku lalui. Kalau ada yang bertanya, 'adakah aku berpuas hati dengan apa yang telah aku lengkapkan?', jawapannya TIDAK. Sebagai seorang manusia, aku sentiasa melihat kemungkinan untuk memperbaiki apa yang aku lakukan dalam hidup.

Berbeza pada zaman aku menduduki pengajian diploma untuk disiplin yang sama, kali ini aku dapat melihat pelbagai kemungkinan dalam proses penciptaan tari. Panel luar yang tidak lokek dengan ilmu yang mereka ada tidak menghadkan diri mereka untuk berkongsi bersama aku. Aku merasakan seolah aku baru memulakan pengajian selepas sesi viva yang aku lalui. Banyak perkara yang mungkin menjadi penanda kepada apa yang menjadi kekuatan aku dalam ilmu koreografi; samada pemikiran atau pun konstruksi koreografi.Yang menarik lagi, aku melihatkan beberapa kemungkinan yang mungkin membezakan antara satu-satu koreografer. Dari sesi viva yang lalu, aku dapat lihat, insan yang dilahirkan dengan interlektual yang tinggi tetapi mempunyai kelemahan dari akspek konstruksi koreografi, insan yang mempunyai kemampunan membina tari yang menghiburkan dan menarik akan tetapi tidak wujud pemikiran di dalam sesebuah presentasi, insan yang retorik dan kombinasi serta inter-assimilasi perkara-perkara yang saya sebutkan tadi. Walaupun begitu, kepelbagaian ini yang membuatkan manusia ini insan yang unik. Setiap individu mempunyai pelbagai sifat dan perilaku yang terbentuk dari pengalaman kolektif masing-masing.

Dan hari ini, aku berbesar hati dapat membantu Sherry dalam presentasi projek akhirnya. Aku berminat dan teruja bekerja dengan beliau adalah kerana pendekatan beliau dalam memperlihatkan hasil kerja teaternya. 'Janda Setinggan' adalah garapan beliau dari sebuah puisi Sasterawan negara, Datuk A. Samad Said. Keterbukaan beliau berkolaborasi dengan pelaku seni yang pelbagai disiplin yang sentiasa membuatkan kerja beliau menarik dan berbeza dari kerja-kerja teater lain. Aku sangat gembira bekerja dengan beliau dan keseluruhan tenaga produksi 'Janda Setinggan'.Kini, aku perlu persiapkan diri untuk latihan Muzikal Terima Kasih Cinta. Walaupun dari awal tahun ini sehingga kini jadual aku telah padat diisi, aku melihat perkara ini sebagai pengalaman yang perlu aku nikmati. Kecintaan aku terhadap kesenian kontemporari semakin menebal kerana setiap perjalanan yang aku lalui membuatkan aku lebih matang setiap hari. Nilai yang baik adalah bukan sasaran aku. Ilmu yang aku tangguk disempanjang perjalanan ini yang aku dahagakan.

P/S: terima kasih kepada semua yang telah membantu dalam kejayaan aku menempuhi pengajian Ijazah Sarjana Muda aku. Jasa anda yang tidak terhingga nilainya hanya dapat dibalas dengan kebesaran kuasa Tuhan yang Maha Berkuasa, Maha Pemurah dan Maha Mengetahui.

Comments

Popular Posts