UDA DAN DARA: GARAPAN YANG SAMAR

Sedang saya merancang untuk mengisi masa lapang dihari minggu, satu sms telah saya terima dari Yunus. Yunus mendapat tiket untuk menonton Uda dan Dara di Istana Budaya. Saya terus setuju dan bersiap sedia. Lepas Maghrib, dalam jam 7:50pm kami bersama-sama bertolak ke Istana Budaya.
Setiba kami di sana, ruang letak kereta agak lengang, dan dari pemandangan ini dapat dijangka persembahan pada malam ini berkemungkinan besar tidak akan menerima jumlah penonton yang besar. Ini perkara biasa dalam dunia seni pentas kerana malam Ahad selalunya orang kota akan berehat di rumah untuk memulakan tugas masing-masing pada pagi Isnin. Selepas bersosial seketika, saya terus masuk ke Panggung Sari bersama Yunus dan beberapa rakan lain.
Sebenarnya perasaan saya sangat teruja untuk menonton persembahan ini. Karya agong Usman Awang ini sudah banyak kali dipentaskan dan keterujaan ini adalah kerana ingin melihat apakah kemungkinan dan pendekatan yang cuba dibawa dalam persembahan kali ini. Selain dari itu, sejak Puteri Gunung Ledang musim pertama, ini adalah persembahan yang menampilkan Razali sebagai teraju utama dan Razali merupakan rakan produksi saya pada masa itu. Mengetahui beliau menjadi teraju utama persembahan ini, ia telah membuatkan saya ternanti-nanti apa yang bakal dipersembahkan oleh beliau dalam persembahan ini.
Persembahan dibuka dengan kehadiran watak Utih yang dimainkan oleh pelakon yang saya sangat kagumi, Rosdeen Suboh. Bersama beliau di atas pentas adalah Syukor Ibrahim. Ensemble lelaki dan perempuan lalu-lalang diruang pentas melambangkan aktiviti kampung.
Secara jujur, agak sukar untuk memberi diskripsi terperinci persembahan Uda dan Dara ini. Secara visualnya, saya tidak dapat meletak pada era apa persembahan ini dimainkan. Dari pemakaian kostum, ia kelihatan seperti era tradisional, sekitar tahun 1940an. Sksn tetapi, disepanjang persembahan, era ini mula beralih kezaman yang lebih moden. Seakan tiada keselarian dalam setiap elemen persembahan ini. Perucapan dialog adakala sangat kontemporari dan adakala sangat tradisional. Ini belum dilihat dari aspek keserasian muzik. Bunyi artifisial dari instrumentasi muzik juga memberi atmosfera kurang pasti dalam persembahan ini. Bahagian yang sangat mengganggu saya adalah dimana apabila si buta menggesek biola, bunyi yang dihasilkan adalah bunyi keyboard yang sangat artifisial sekaligus memberi kesan lucu pada saya.
Dari aspek koreografi, dalam persembahan ini tari telah digubah pada tahap yang optimum. Komposisi ensembel digubah dengan menggunakan asas tradisi yang dilihat berjaya memenuhi ruang pentas dan projeksi penari yang diarah ke pelbagai dimensi berjaya mewujudkan dinamik yang menarik. Walaupun begitu, terdapat beberapa bahagian, ensembel dilihat gagal melaksanakan persembahan dengan kekemasan yang optimum. Ini kerana terdapat beberapa individu seolah-olah tidak pasti dengan pergerakan yang dilakukan dan sekaligus menjejaskan keseragaman ensembel. Terdapat juga koreografi duit yang ditarikan oleh Uda dan Dara. Dalam beberapa babak, koreografi dilihat seolah-olah hanya mengisi babak sahaja tanpa memberi sebarang makna. Kegagalan koreografer memberikan pergerakan yang 'mampu' dilakukan oleh pasangan Uda dan Dara jelas diperlihatkan. Terdapat pergerakan ringkas yang dibuat oleh Dara dalam salah satu lagu solonya kelihatan kekok dan tidak selari dengan pengisian dan penceritaan yang cuba disampaikan.
Komponen yang paling menarik perhatian saya dalam persembahan ini adalah setnya yang indah dan penataan cahaya yang ringkas tetapi berkesan. Set yang berskala besar ini sebenarnya bukanlah serumit mana, akan tetapi impaknya kepada kesan visual dalam persembahan ini sangat kuat.
Pada pendapat saya, persembahan ini saya kategorikan sebagai persembahan yang baik. Ini kerana, Istana Budaya sebagai pentas bertaraf dunia, pernah mementaskan persembahan yang saya kategorikan sebagai GAGAL seperti contoh Muzikal Tun Abdul Razak dan Gamat.
p/s: kesal Razali miming dalam persembahan ini. TERIMA KASIH YANG TIDAK TERHINGGA KEPADA FIZZ YANG SUDI MEMBERI TIKET YANG ANDA MILIKI KEPADA SAYA DAN SEKALIGUS MEMBUKA PELUANG SAYA MENONTON PERSEMBAHAN INI.
Comments
cuma melalui muzikal ini, saya rasakan beliau seakan2 membuat persembahan konsert beliau.. entahla.. x tau siapa yg patot disalahkan.. mungkin beliau bru dlm arena muzikal ini, namun begitu.. org2 senior yg berada di dlm produksi ini??? apa pekerjaan anda?? tidk menasihatnye ke? atau beliau seorng yg degil? sehingga tdk mengikuti nasiaht?? tahla.. hanya anda yg tau... sebnrnye ada bnyk nk komen tp xpela... ni blog org hahaha