MAIN ZAPIN 2010-Bahagian 2

Zapin Terengganu yang telah dizahirkan oleh Allahyarham Haji Ahmad Omar merupakan zapin pertama yang dipersembahkan pada malam ini yang mempunyai penari paling ramai. Zapin ini dimulakan dengan penari wanita yang mengenakan kebaya berwarna unggu dan hijau pucuk pisang dan menutup kepala dengan kain dagang. Penari wanita ini merentasi ruang pentas dan membentuk satu garisan diagonal dari belakang kiri pentas hingga ke bahagian depan kanan pentas. Apa yang menarik dalam zapin ini adalah permulaannya. Kopak pertama dalam zapin ini dimulakan dengan penari perempuan bertepukan tangan. Perkara ini pertama kali saya saksikan dalam persembahan zapin. Penari lelaki dalam zapin ini masuk selepas penari perempuan melakukan formasi dari satu garis diagonal ke satu garisan lurus secara lajur ditengah pentas. Susunan pola lantai zapin ini dilihat sangat menghargai kehadiran penonton di hadapan dan di sisi pentas. Penggubah zapin ini dilihat sedar akan ruang pentas yang akan digunakan untuk persembahan dan pujian wajar diberi. Busana yang dikenakan oleh penari lelaki untuk zapin Terengganu ini dilihat sangat menenangkan secara tidak langsung mengimbangi warna yang terdapat diatas pentas.

Persembahan diteruskan dengan Japin Suara Siam. Zapin yang popular dikalangan masyarakat Tidong di Sabah ini dinamakan sempena lagu yang digubah untuk mengiringi persembahannya. Dipersembahkan oleh 12 orang penari kesemuanya, zapin ini dilihat yang paling bertenaga dan lincah jika dilihat setakat ini. Persembahan yang bersahaja dan penari ‘bermain’ zapin, penonton juga turun merasakan keseronokkan mereka. Zapin ini menjadi zapin yang paling diminati dari himpunan zapin yang dipersembahkan dalam persembahan ini. Akan tetapi, jika dilihat secara terperinci, penari dalam zapin ini dilihat agak longgar dan stamina penari mula menurun diakhir persembahannya. Pola lantai yang digubah sangat menarik dimana terdapat beberapa formasi asimetri yang jarang sekali digunakan dalam persembahan tari tradisi. Sayangnya dalam persembahan ini, Japin Suara Siam hanya memprojeksikan persembahannya untuk penonton dihadapan sahaja. Kostum baju Melayu merah, kain songket biru muda dagang luar dan bersongkok dilihat serasa dengan kelincahan pergerakan zapin ini. Merah yang sering dihubungkaitkan dengan sesuatu yang panas menggambarkan kehangatan persembahan ini dan kain songket biru sebagai faktor pengimbangannya.
Persembahan Main Zapin berhenti rehat selama 10 minit dan pada masa ini saya meluangkan masa untuk membaca lipatan program yang diberikan pada saya. Saya tertarik dengan pengunaa ganti nama ‘koreografer generasi baru’. Saya tertanya apa yang dimaksudkan dengan pengguna kata ini kerana zapin adalah satu bentuk tradisi yang sudah tercipta sekian lama. Pada pendapat saya, istilah yang sesuai untuk memperkenalkan mereka ini adalah pengubah tari. Perkara lain yang mengganggu bacaan saya adalah terdapatnya banyak kesalahan ejaan, tatabahasa yang mudah dan pengistilahan yang sedikit sebanyak memberi pandangan yang negatif kepada persembahan ini. Meminjam apa yang dikatakan oleh Datin Marion, kritikan beliau terhadap lipatan program K.I.V yang baru-baru ini berlangsung di The Actors Studio Lot 10, beliau ada mengatakan, program ini adalah tanda yang akan diterima oleh penonton tentang pengajur persembahan. Bertitik tolak dari perkara itu, saya merasakan pihak Fakulti Tari ASWARA harus serius dalam menyediakan dokumentasi untuk persembahan yang mereka anjurkan. Selain sebagai satu-satunya Institut Pengajian Seni Persembahan di Malaysia, ASWARA harus memberi contoh yang baik atas perkara-perkara seperti ini. Jika dibandingkan K.I.V dan Main Zapin, ini bukan pertama kali ASWARA menganjurkan persembahan tari tradisional dan kesilapan seperti ini tidak seharusnya berlaku. Penetapan dalam penggunaan bahasa juga dilihat memainkan peranan yang penting. Campuran bahasa ini, pada pendapat saya memberikan tanda kepada tiada nilai standard dalam menyiapkan lipatan program ini.

Persembahan disambung semula selepas berhenti rehat selama 10 minit. Bahagian kedua persembahan Main Zapin dimulakan dengan satu bentu zapin yang pernah saya tonton sebelum ini. Zapin Sebat, pada pandangan saya merupakan sebuah zapin yang indah kerana terkawal dan ketersusunan dalam mengatur langkah. Dipermulaan persembahan zapin ini. Telah terlihat ketenangan ini. Apabila lampu semakin terang, saya mula merasa tidak selesa dengan persembahan zapin ini. Perkara pertama yang mengganggu pemandangan saya adalah penari yang sangat ramai seakan telah menutupi keseluruhan pentas. Keduanya pemilihan busana untuk zapin ini agak bercampur aduk sekaligus mengganggu pandangan mata yang ingin ‘berjamu’. Terutama untuk penari lelaki, terdapat sekumpulan yang mengenakan baju Melayu hijau muda pucuk pisang dan sekumpulan lagi memakai baju Melayu berwarna off-white ke Ocharded Yellow. Lebih dasyat lagi kedudukan mereka seorang tidak disusun berdasarkan warna baju yang dikenakan. Susun atur ragam dan pola lantai untuk zapin ini sebenarnya kurang jelas. Terdapat beberapa bahagian, gubahan berbentuk canon digunakan dengan cara yang kurang bijak. Ini kerana penari kelihatan teragak-agak dalam bahagian ini. Yang lebih mengecewakan lagi, zapin ini hanya mengarahkan projeksi persembahan kehadapan sahaja. Dengan penari seramai 32 orang di atas pentas; 18 wanita dan 14 lelaki, malang sekali kretiviti dalam menggunakan ruang dan mempelbagaikan projeksi tidak digunakan dalam tarian ini. Dalam kumpulan zapin ini, Aris Kadir adalah penari yang paling menyerlah. Projeksi yang secara menyeluruh, bersahaja, dan keikhlasan dalam melakukan pergerakan zapin Sebat ini, sekali-sekala memanggil saya untuk memandang kearahnya.

Zapin Pekajang yang dipersembahkan dalam Main Zapin ini agak mengecewakan. Pola lantai yang dilihat tidak serasi dengan muzik dan terdapat beberapa gabungan zapin lain didalamnya memperlihatkan ia antara zapin yang tidak selari dengan persembahan ini. Pergerakan zapin Pekajang yang kadang-kadang kelihatan seperti penari ingin jatuh tidak dapat dilihat dalam olahan ini. Nyanyian yang mengiringi persembahan zapin ini agak bersahaja sehingga pada satu masa mereka seolah tidak serius dan menunjuk-nunjuk. Secara jelas, suara latar untuk lagu yang mengiringi persembahan zapin ini tidak tetap. Mungkin ini sebahagian dari persembahan supaya persembahan ini dilihat ringan dan bersahaja, akan tetapi lagu ini sahaja rasa ‘bersahaja’ yang ingin dikecapi agak melampau. Akan tetapi pemilihan Busanan untuk zapin Pekajang ini; baju Melayu bewarna gangsa bersama kain samping dagang dalam berwarna hitam berbenang perak, sangat memberi kesan visual zapin di sekitar tahun 1990an.

Penari wanita memasuki ruang pentas dari hadapan kiri dan kanan pentas sangat ayu dan terkawal. Busana bewarna jungga terang dengan padanann kain dagang luar berwarna persis mutiara dan kain songket hijau sangat indah dan kelihatan sangat bertenaga. Zapin Tanjung Labuh ini, pada pendapat saya adalah satu bentuk zapin yang sangat ayu dan memperlihatkan ciri-ciri wanita Melayu yang sebenar. Dalam persembahan Main Zapin ini, sifat dan visual ini jelas diperlihatkan dalam zapin ini. Penari menarikan tarian ini dengan kualiti yang agak sama dan sekaligus memperlihatkan kesatuan dalam zapin ini. Pola lantai dan gubahan zapin ini yang ringkas telah berjaya memperlihatkan keindahan zapin ini. Selepas zapin Sebat dan zapin Pekajang yang agak ‘berserabut’, zapin Tanjung Labuh ini telah berjaya meneutralkan sekaligus mengimbangi dinamik persembahan zapin ini secara fizikalnya.

Zapin Dayung dimulakan dengan sesuatu yang sangat klise. Sekumpulan penari lelaki menlakonkan watak nelayan masuk ke ruang pentas dengan nyanyian yang sangat ikonik ‘Hoi, Hoya Hoi’; lagu yang pernah dinyanyikan dalam filem P.Ramlee, dan yang lucunya apabila sekumpulan penari ini ingin menyanyi nada tinggi lagu ini, sangat sumbang. Keriuhan terhenti apabila terlihat dihadapan kanan pentas kelihatan dua penari duduk bersila di atas lantai pentas; seorang daripada mereka bermain mendolin. Seorang lagi lelaki yang duduk bersebelahan pemain mendolin itu mula berselawat bersama-sama dengan petikan mendolin. Lafaz selawat yang disebut oleh penari tadi kurang jelas sebenarnya. Pemain mendolin kemudian mula berpantun dan bertanya adakah nelayan-nelayan tadi; ‘hebatkah mereka di daratan’. Kemudian mereka terus menari zapin Dayung. Pada pendapat saya, zapin Dayung ini adalah bentuk yang paling hampir dengan zapin Parit Mastar yang pernah saya pelajari satu masa dulu. Gubahan dari ini adalah gubahan yang biasa saya lihat. Formula gubahan ini adalah sesuatu yang biasa kita akan lihat sekiranya pengubah tari zapin ini berasal dari ‘latihan’ yang sama. Secara struktur keseluruhannya, zapin ini dipersembahkan dengan baik sekali. Cuma terdapat satu bahagian dalam zapin ini apabila variasi ‘canon’ digunakan dan perkara ini sangat dapat dijangka. Yang menarik dalam persembahan zapin ini apabila penari cuba menggunakan keratan kain batik yang digantung di leher mereka. Cubaan yang baik, akan tetapi jelas dapat dilihat penari kurang latihan dalam memobilitikan kain ini.

Zapin Mahpom adalah zapin yang pertama kali saya saksikan. Zapin ini, pada pendapat saya satu lagi conton ‘latihan’ yang saya maksudkan dalam perenggan sebelumnya. Akan tetapi, untuk zapin ini, gubahannya terlihat lebih ringkas. Walaupun susunan gubahannya berbeza dengan zapin Dayung, akan tetapi variasi yang digunakan adalah variasi yang sama tetapi kesannya sangat berbeza. Padanan busana berwarna merah, hijau dan putih mutiara sangat indah. Suhu pilihan baju ini sangat sesuai untuk persembahan zapin ini. Untuk sebuah zapin yang ditarikan oleh wanita, zapin ini sangat indah dipandang kerana penari sentiasa dalam keadaan terkawal dan segala pergerakan dalam persembahan ini sangat kemas diatur.Selain dari itu, nyanyian yang mengiringi persembahan zapin ini juga seiring dengan persembahan zapin ini.

Persembahan seterusnya adalah zapin Putar Alam. Zapin ini digubah dengan pendekatan yang masa kini. Variasi dan formasi yang digunakan dalam zapin ini adalah sesuatu yang bukan menjadi kebiasaan dalam gubahan tari tradisi; sama seperti Japin Suara Siam. Boleh saya katakan dua bentuk zapin ini mempunyai ‘sentuh’ generasi masa kini. Penari lelaki zapin ini dilihat tangkas dan bermain dengan zapin ini. Ini antara zapin yang mempunyai pola lantai yang memikirkan tentang pentas semi arena ini. Akan tetapi, projeksi persembahan ini hanya menghala kepada penonton dihadapan.
Terdapat sebuah persembahan yang bukan dalam tentatif persembahan ini. Kelihatan tiga kumpulan penari masuk ke ruang pentas. Mereka berpakaian yang agak ringkas dan kelihatan seolah mereka baru selesai menghadiri kelas tarian. Pemuzik memainkan ritma zapin dan penari-penari melakukan pergerakan yang memperlihatkan zapin yang mungkin telah diperbaharui. Pada pendapat saya, bahagian ini adalah bahagian yang paling lemah dalam persembahan main zapin ini. Koreografi dalam bahagian ini agak longgar dan nyatanya penari yang menarikan bahagian ini mempunyai kelemahan untuk menarikan tarian berbentuk ini. Penari kelihatan tiada ‘groove’ untuk menarikan tarian-tarian berbentuk ini. Sebagai sebuah persembahan, pada pendapat saya, sepatutnya kelemahan ini tidak diperlihatkan diakhir persembahan. Saya sebagai pemerhati tari, berasa perkara ini secara langsung memberi satu tanda yang persembahan akhir ini hanya ‘ditampal’ untuk mengakhiri persembahan.
P/S: Keliru dan tertanya-tanya, mengapa tiada nama ‘koreografer generasi baru’ untuk sesetengah zapin dalam persembahan ini. Tetapi untuk ‘curtain call’ ada individu yang mengaku tidak mengubah zapin itu yang kehadapan apabila zapin yang dimaksudkan diumumkan..musykil
Comments
tahniah.